Thursday, April 24, 2008

Dengar ye...

Sirih Berlipat Sirih Pinang
Sirih Dari Pulau Mutiara
Pemanis Kata Selamat Datang
Awal Bismillah Pembuka Bicara

PENGENALAN

Pantun Melayu sering menjadi penyeri di dalam sesebuah majlis. Menurut Perpustakaan Negara dalam (http://www.pnm.my/sirihpinang/sp-pantun-m.htm). Perkataan yang berkaitan sirih pinang banyak digunakan di dalam pantun, puisi, pepatah dan gurindam serta bidalan Melayu. Pantun merupakan puisi tradisi Melayu yang di dalamnya terserlah kehalusan budi dan ketajaman fikiran.
Peribahasa pula mengandungi bidalan, pepatah, perumpamaan dan pembilang atau disebut juga, kata orang tua-tua. Di dalam peribahasa terkandung cakap-cakap bijaksana bagi menggambarkan pengalaman hidup. Ianya selalu disebut-sebut, lalu dipakai untuk menjadi sebagai bandingan, tauladan dan pengajaran.
BLOG PANTUN
Kelahiran blog ini yang dikenali sebagai Pantun Melayu 2008 merupakan wadah dalam berkongsi koleksi pantun yang pernah digunakan semasa mengacara majlis. Ramai rakan dan taulan yang mencadangkan agar kesemua pantun yang pernah digunakan disimpan agar menjadi tatapan dan boleh digunakan bagi mereka yang memerlukan. Selain itu, pastinya ada teguran dan penambahbaikan yang boleh dikongsi bersama dalam blog ini bagi memartabatkan dan meneruskan kelangsungan pantun Melayu ini.
PANTUN HANYA UNTUK PERMULAAN DAN AKHIRAN?
Daripada pengalaman mengacara majlis sama ada majlis yang bersifat formal mahu pun tidak formal. Saya melihat pantun berupaya menceriakan suasana dan kehadiran pantun berupaya merancakkan lagi sesebuah majlis.
Namun, pandangan skeptikal yang melihat kehadiran pantun hanya sesuai untuk permulaan sesebuah majlis dan akhiran majlis bagi saya hanyalah pandangan yang tidak berasas. Tidak dinafikan sememangnya ia biasa digunakan dan diamalkan. Namun, adakah yang biasa itu betul dan tidak boleh diubah dan dicantikkan?
Telah terbukti dari pengalaman dan respon, pantun yang diselitkan dalam majlis sama ada di permulaan, di tengah mahupun akhiran sesebuah majlis berupaya membawa perubahan yang memberikan impak yang positif. Apa kata, cubalah membuat perubahan agar pantun Melayu terus dimartabatkan.
Cincin Sudah Tersarung Di jari
Tanda Ikatan Sudah Terpatri
Saya Menyusun 10 Jari
Agar Kemaafan Dapat Diberi